Wednesday, May 25, 2011

Majlis Doa Selamat dan Tahlil, di Casa Impian

Kumpulan Muslimah Ar-Wardah di jemput ke majlis doa selamat dan bertahlil

di kediaman baru rumah anak perempuan Puan Sarifah di Casa Impian, Jalan Ipoh.

Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak tuan rumah yang dirahmati Allah.

Semoga mendapat keberkatan dan dilindungi Allah setiap masa hendaknya. Amin!


Puan Sarifah dengan wajah cerianya.



Alamaaaaak, gamba ni gelap laaa pulak! apa masalahnyeeeee..

Seramai 30 orang ahli kumpulan muslimah Ar Wardah yang telah di jemput
bagi menyempurnakan hajat tuan rumah, pada 7hb Mei yang lepas.






Monday, May 23, 2011

Beefstik Goreng

Resepi dari ibu nekwan, beefstik melayu yang di sadur dari masakan barat dan diubah suai untuk makanan sekeluarga, sesuai di makan dengan nasi putih atau roti.
Untuk menyediakannya:


1. 1kg daging lembut (daging untuk buat stik)
2. 3 biji ubi kentang
3. 1 tin kacang peas
4. 2 labu bawang besar
5. 10 biji telor
6. 125gm butter (½ ketul)
7. 1 sudu tea serbuk lada sulah
8. 5 ulas bawang putih


Cara menyediakannya:
1. Daging dipotong setebal ½ inci dan rebus dengan api perlahan.
2. Potong ubi kentang memanjang dan goreng dengan butter separuh masak.
3. Bawang besar dipotong dadu dan goreng dengan butter hingga layu.
4. Goreng daging yang sudah direbus tadi dengan bersalut telor.
5. Tumiskan bawang putih yang sudah dicincang.
6. Masukkan air rebusan daging.
7. Taburkan serbuk lada dan garam.
8. Masukkan daging yang goreng bersalut telor.
9. Masukkan ubi kentang.
10. Akhir sekali masukkan kacang peas dan bawang biarkan ia mendidih selama beberapa saat kemudian angkat dan hidangkanlah.


Hidangan untuk 4 atau 5 orang.


Nota: jika ada diantara cucu nekwan yang tak suka mentega, boleh diganti dengan majrin ataupun minyak masak biasa. Tapi, keenakannya agak berbeza. Beefstik ini tak perlu banyak kuah, ia memadai dengan sedikit kuah yang pekat.


Selamat mencuba.


Ubi kentang dan bawang yang sudah siap mengikutcitarasa sendiri



Daging yang sudah direbus dan dipotong sekeping-sekeping.


Bahan-bahan penumis, serbuk lada, serbuk cendawan, bawang putih cincang dan mentega.


Setelah di masak, berginilah hasilnya.







Thursday, May 19, 2011

Kemurungan…

Penyakit yang menyerang warga emas lelaki dan wanita yang berusia lingkungan 50 tahun keatas. Tidak terkecuali. Ini juga berlaku pada mereka yang remaja.


Kemurungan amat mudah menyerang pemangsa, hanya disebabkan cara hidup dunia hari ini, yang terlalu sibuk mengejar kemajuan dan terabainya perhubungan tali persaudaraan dan kurangnya tumpuan kasih sayang antara keluarga. Kurang didikan agama serta leka dengan keghairahan duniawi yang menyebabkan kita lupa untuk bersyukur ke hadrat Ilahi, apatah lagi untuk mengingati ibu bapa yang telah uzur dan tua.


Cara pendidikan anak-anak juga boleh menjadi salah satu sebab darinya, terlalu menyayangi anak-anak, sehingga tidak dapat membataskan dan mendisplinkan anak-anak. Memenuhi setiap permintaan dan keinginannya, sehingga anak-anak terlalu berkehendak dan memberontak jika ia gagal mendapatkan apa yang diingini.


Apabila anak-anak itu keluar dari dunia anak-anaknya dan menjalani dunia remaja, berkawan dan bergaul dengan ramai teman, tentunya ia tidak dapat menyesuaikan diri dengan sikap dan tabi’at yang telah sebati dalam dirinya dari hasil didikan ibu bapa. Ini membuatkan ia kurang mesra dan tidak dapat menyesuaikan diri dan akhirnya ia akan terpinggir dan menerima tekanan.


Perhatikan anak-anak sedemikian, ia melepaskan emosi dan ketidakpuasan hatinya di rumah bersama ibu bapa dan keluarganya atau pun sesiapa yang akan jadi mangsanya. Anak-anak seperti ini selalunya akan menjerit, membaling barang-barang yang ada berhampiran dengannya, merusakkan barang-barang yang disukainya untuk melepaskan geram.


Sebahgian dari mereka, akan mengurungkan diri didalam bilik berjam-jam dan berhari-hari, berhenti dari membuat aktiviti seharian. Tanda-tanda ini adalah puncanya akan berlaku kemurungan jika ia tidak dibendung dari awal lagi.


Menurut satu pandangan lagi, murung boleh juga disebabkan sejarah silam yang dilalui dan kekecewaan yang amat sangat yang membawa kepada putus asa. Kemurungan seperti ini selalunya di alami oleh para remaja dan yang dewasa. Murung yang begini akan membawa kepada perlakuan luar biasa seperti hysteria.


Murung berpunca dari berbagai factor dan berakhir dengan berbagai macam cara, gila, sewel, hysteria yang kerap berlaku pada pesakit, membunuh diri dan mengancam keselamat masyarakat. Sikap masyarakat hari ini juga boleh menyebabkan seseorang itu mendapat murung.

Punca kemurungan adalah disebabkan:
1. Kesunyian.
2. Rasa tidak dihargai.
3. Rasa terpinggir.
4. Rasa rendah diri dan tidak berguna.
5. Kurang perhatian dan kasih sayang dari keluarga.


Kenali mereka-mereka yang diserang kemurungan:
1. Suka bercakap banyak untuk menarik perhatian.
2. Ada kalanya suka bersendirian.
3. Mengasingkan diri dari kumpulan.
4. Mudah tersinggung.
5. Berkhayalan dan melamun sehingga mereka bercakap sendiri.
6. Beremosi tinggi dan cepat marah.
7. Merajuk yang berpanjangan.
8. Berfikiran negative dan kecewa.
9. Berasa iri hati.


Jika ada di antara ahli keluarga anda yang mempunyai tanda-tanda seperti yang di nyatakan di atas, perlulah lebih berhemah untuk mengatasinya dengan memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang, jangan biarkan ianya bersendirian dan kesaorangan hingga berlarutan. Setiap yang menghadapi murung memerlukan kecerian suasana, sentiasa ditemani, berbicara dengan hal-hal yang digemarinya, ikhlas melayaninya, membawanya bersiar-siar dan bagi yang mampu, membawa pergi bercuti dan sebagainya. Adalah lebih baik untuk mendapatkan nasihat doctor.


Memberi perhatian dan memahami jiwa yang murung adalah satu rawatan yang paling berkesan, sebelum ianya menjadi begitu serius hingga ketahap gila, sewel dan nyanyuk. Bantuan dan sokongan keluarga yang terdekat amat di perlukan. Selain dari menjalani rawatan-rawatan yang disediakan oleh pihak hospital berupa kaunseling dan sebagainya.


Kebanyakkan kemurungan melanda warga emas yang tinggal bersedirian, ibu tunggal maupun bapa tunggal, juga tidak terkecuali remaja dan orang dewasa, yang diwarisi dari keturunan.
Pengidap murung, selalunya melanda orang yang banyak berahsia dan suka memendam rasa. Seperti air dalam takongan, jika sudah penuh ia akan melimpah. Kelemahan mental dan fizikal juga boleh mengundang kemurungan.


Untuk mengenali pemurung: banyak bercakap perkara-perkara peribadi, perkara ketidakpuasan hati, kekecewaan yang dialami, pada benda yang sama dan berulang-ulang kali, tidak suka jadi pendengar, cepat bosan dalam perbualan, tidak menumpukan tajuk perbualan, dan ada kalanya pemurung menjadi pendiam dan suka mengasingkan diri, mengurung diri dan bersendiri.


Untuk mengatasi atau merawat pesakit murung supaya tidak menjadi lebih serius dan bila perkara begini berlaku, keluarga terdekat perlu beri perhatian dan jangan biarkan si pemurung tinggal sendirian, menceriakan suasana dan hargai mereka, supaya mereka tidak merasa terpinggir, terbuang dan tidak diperlukan sehingga mereka merasa rendah diri, sayangi mereka.


Dalam perbualan dan perbincangan hargai pendapatnya, walaupun pendapatnya itu tidak begitu logik atau bernas, berikan penjelasan yang baik dan posotif untuk tidak menerima hasil buah fikiran mereka, dalam pergaulan jangan di ketepikan mereka, bawa mereka bersiar-siar, supaya mereka melihat sesuatu yang baru yang boleh menarik perhatian dan minat mereka, kerana ini boleh membuatnya ceria, dan berikan kegembiraan seperti mana kegembiraan yang anda inginkan, jangan sia-siakan penghidupan mereka setelah usia mereka telah lanjut dan tidak ada apa yang boleh diharapkan dari mereka lagi.


Wednesday, May 18, 2011

Samb: Akhir Kelebihan Berselawat

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:


Barangsiapa berselawat untukku 1 kali, Allah s.w.t berselawat untuknya10 kali. Dan sesiapa berselawat untukku 10 kali, Allah s.w.t berselawat untuknya 100 kali. Dan barangsiapa berselawat untukku 100 kali, maka Allah s.w.t berselawat untuknya 1000 kali, maka api neraka tidak menyentuhnya.


Sesungguhnya Allah s.w.t. mempunyai para malaikat yang selalu berjalan di muka bumi serta menyampaikan salam dari umatku untukku, maka apabila ada seorang dari umatku yang membaca selawat untukku sebanyak 100 kali dalam sehari, maka Allah s.w.t. memperkenankan 100 hajatnya, 70 hajat diakhirat dan 30 hajat di dunia.


Telah datang kepadaku malaikat Jibril, malaikat Israfil, malaikat Izrael dan malaikat Mikail. Maka Jibril berkata: “Wahai Rasulullah! Barangsiapa berselawat untukmu 10 kali, maka aku pimpin tangannya dan bawanya berjalan ke atas titian Mustaqim.”


Dan Mikail berkata: “Saya akan memberi minum untuknya dari telagamu”.


Israfil pula berkata: “Saya akan sujud kepada Allah s.w.t dan saya tidak akan mengangkat kepala saya sehinggalah Allah s.w.t. mengampunkannya.”


Kemudian Izrael pula berkata: “Saya akan mencabut nyawanya sebagaimana saya mencabut nyawa para nabi.”



Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:


Tiga jenis manusia yang tidak dapat melihatku:
1. Orang yang derhaka pada ibu bapanya.
2. Orang yang meninggalkan sunnahku
3. Orang yang bila disebut namaku dihadapannya, ia tidak berselawat (tidak menjawab selawat itu) untukku.

Monday, May 16, 2011

Samb: Kelebihan Berselawat

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:


Malaikat Jibril telah berkata kepadaku: “ Hai Muhammad! Sesungguhnya Allah ta’ala telah mencipta sebuah laut di balik gunung Qaf dan di laut itu terdapat ikan yang selalu membaca selawat untuk kamu, maka barangsiapa yang mengambil seekor ikan dari laut itu, maka lumpuhlah kedua tangannya dan ikan pun akan menjadi batu.


Barangsiapa menulis selawat untukku dalam sebuah kitab (buku) maka para malaikat tetap memohonkan ampun baginya selama namaku masih tertulis di dalam buku itu.


Dan barangsiapa cinta kepada sunnahku maka sesungguhnya dia cinta kepadaku maka dia bersamaku di dalam Syurga.


Barangsiapa cinta kepada sesuatu, maka dia banyak menyebut-nyebutnya.



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:


Barangsiapa berselawat ke atasku sebanyak 500 kali pada setiap hari, nescahaya ia tidak akan menjadi faqir selama-lamanya.


Barangsiapa yang berselawat sebanyak 10 kali untukku pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang. Maka Allah s.w.t. mengamankannya dari kejutan yang maha besar pada hari kiamat dan dia bersama-sama dengan para nabi dan para siddiqin di dalam syurga.


Barangsiapa berselawat untukku sebanyak 100 kali pada malam jumaat, maka ia datang pada hari kiamat bersama dengan satu cahaya. Sekiranya cahaya itu di agih-agihkan kepada semua makhluk nescahaya akan mencukupi untuk mereka.



Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:


Berselawatlah di mana saja kamu berada. Sesungguhnya selawat itu akan sampai kepadaku. Dan perbanyakkanlah berselawat untukku pada hari Jumaat kerana sesungguhnya selawat itu dibentangkan kepadaku.


Barangsiapa lupa berselawat kepadaku, maka ia lupa jalan ke syurga.


Sesungguhnya di antara umatku nanti ada beberapa kaum, apabila Allah s.w.t berfirman kepada mereka pada hari kiamat dengan firmannya: “ Wahai hamba-hambaku! Masuklah kamu semua ke dalam syurga”. Mereka menjadi kebingungan di padang luas pada hari kiamat itu dengan seruan Allah s.w.t untuk masuk ke syurga, baginda ditanya: “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” baginda menjawab: “Meraka adalah orang-orang yang bila disebut namaku dihadapannya, mereka tidak berselawat tidak menjawab selawat itu untukku kerana lupa dan leka.



Abu Hurairah meriwayatkan katanya: Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:


Orang yang membaca selawat untukku baginya cahaya di atas titian mustaqim, mereka yang memiliki cahaya, maka dia tidak termasuk penghuni neraka.




Bersambong…

Sunday, May 15, 2011

Kelebihan Berselawat

NABI MUHAMMAD adalah penghulu segala nabi-nabi dan rasul- rasul. Ia satu-satunya manusia yang paling tinggi dan agung. Tiada siapa manusia di dunia ini dapat menandingi budi pekertinya.


Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Qalam ayat 4 yang bermaksud:


Wainnaka la’alaa huluqin ‘azim. Ertinya:


“Sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang paling agung”


Oleh kerana tinggi dan mulianya akhlak Rasulullah s.a.w. maka dengan mukjizat yang diberikan kepadanya, ia mengajak, memberi ilmu dan mendidik manusia sehingga sampai ajaran-ajarannya itu kepada kita melalui para ulamak.


Justeru itu sebagai tanda terima kasih dan tanda orang-orang yang benar-benar mencintainya, banyakkanlah berselawat. Orang yang banyak berselawat ialah orang yang kasih dan cinta kepada Nabi s.a.w. ia akan mendapat syafaat (pertolongan) Nabi s.a.w di akhirat kelak. Berikut adalah sebahgian dari kelebihan berselawat.

1. Abdul Rahman bin Auf berkata yang bermaksud:


Jibril alaihisalam datang sambil berkata: “ Wahai Muhammad barang siapa berselawat untukmu. Seramai 70,000 para malaikat akan berselawat untuknya. Barangsiapa yang dibacakan selawat untuknya oleh para malaikat, ia akan tersenarai dalam penghuni syurga.



2. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:


Sesungguhnya orang yang paling selamat di antara kamu dari segala bahaya dan malapetaka yang berlaku di hari akhirat, ialah orang yang paling banyak berselawat untuk ku.


Dan sesungguhnya orang yang utama di sisi aku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat ke atasku.



3. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:


Barangsiapa berselawat kerana mengagungkanku. Maka Allah s.w.t. menciptakan dari selawat itu satu malaikat yang mempunyai dua sayap, satu sayap ditimur dan satu sayap lagi di barat, sedangkan dua kakinya di bawah bumi yang ketujuh, lehernya pula sampai kearasy. Allah s.w.t berfirman kepada malailat ini: “berselawatlah kepada hamba ini sebagaimana ia telah berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. maka malaikat itu berselawat untuknya sampai ke hari kiamat.



4. Rasulullah s.a.w. bersbda yang bermaksud:


Perbanyakkanlah olehmu sekelian akan selawat untukku, kerana sesungguhnya selawatmu itu menyebabkan ampunan terhadap dosa-dosa kamu dan mintalah untukku wasilah (jalan) dan darjat yang tinggi, kerana wasilahku disisi Tuhanku itu menjadi syafaat bagi kamu sekelian.




Bersambong…

Saturday, May 14, 2011

Kelebihan Surah Al-Ikhlas

Kelebihan-kelebihan surah Al-Ikhlas berdasarkan dari maksud hadis-hadis Rasulullah S.A.W.


Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:


1. Barang siapa membaca surah Al-khlas sebanyak 200 kali pada setiap hari, maka Allah s.w.t. mengampunkan dosanya selama 50 tahun melainkan dosa hutang.

2. Barangsiapa yang membaca surah Al-Ikhlas sebanyak 100,000 kali, Allah s.w.t. mengurniakan ganjaran pahala untuknya seumpama orang yang telah menebus dirinya dari api neraka.


3. Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas ketika sakit dan membawanya sampai kemati. Maka ia tidak akan busuk di dalam kubur kuburnya dan selamat dari kesempitan kubur serta para malaikat membawanya dengan sayap-sayap mereka sehingga melintasi titian Shiraathalmustaqim terus menuju ke syurga.


4. Barangsiapa mengerjakan suruhan agama dan mengharapkan supaya selamat dari api neraka, ia hendaklah bersedekah sebanyak 12,000 dirham, sesiapa yang tidak mempunyai harta hendaklah membaca surah Al-Ikhlas sebanyak 12,000 kali.


[Catitan:Tak perlu membaca sebanyak 100,000 sekali gus, boleh buat satu jadual untuk menyempurnakannya. Contoh: kita mulai dari bulan Rejab 2011 dan melengkapkan amalan itu pada Rejab 2012, bahagikan 100,000 dengan 12 bulan dan bahagikan lagi kepada 30 hari dan seterusnya bahagikan pula dengan 5 waktu solat fardu, jadi jumlah yang perlu kita baca setiap kali selesai solat, lebih kurang 56 kali bacaan. Dan semuanya mengikut kemampuan kita sendiri. Boleh dikurangkan bacaannya dengan memanjang masa lengkapnya. Catitkan dalam buku setiap kali selesai membacanya, supaya senang untuk membuat kiraan. Ianya juga boleh di amalkan sewaktu sedang berehat atau bila-bila masa saja.]