Tuesday, January 11, 2011

Sebuah Pulau Terpencil.

Tinggallah anak ajaib itu dalam pengawasan dan pemeliharaan tuan hakim di istananya. Setelah berlalu setahun, yakni ketika usianya mencapai lima tahun, anak itu mulai bangun dari tidurnya yang unik seraya bergerak dan mencuba berbicara dengan orang-orang sekitar istana megah itu, meskipun dengan ucapan terbatas-batas dan terputus-putus. Mereka menangkap aib pada kedua matanya. Mereka lalu mencuba mengubatinya. Akan tetapi, para doctor istana berkesimpulan secara pasti bahawa penyakit itu tidak akan dapat disembuhkan secara perubatan dan bahawa penyakit atau cacat itu nampaknya diciptakan oleh Yang Maha Kuasa sedemikian rupa untuk menjalani hidup seperti itu.

Hanya kira-kira satu bulan sahaja, ketika penduduk negeri itu sedang lelap tidur, tiba-tiba ada peringatan Tuhan kepada mereka, kerana mereka melakukan zina dan liwat (homoseks) seperti orang orang Sadum dan ‘Amurah. Tuhan berkehendak membuat rencana atas mereka. Dia memberi tangguh mereka sehinggalah tiba saatnya perintah Allah untuk menyeksa mereka. Maka datanglah seksaan atas mereka dengan tiba-tiba tanpa mereka duga sebelumnya. Kemudian Allah s.w.t., memerintahkan Jibril untuk memendam mereka kedalam bumi seperti yang dilakukan atas penduduk Sadum dan ‘Amurah. Yang tersisa hanyalah seorang anak kecil yang sedang berada di istana hakim. Jibril ditugaskan untuk membawa anak itu ke suatu pulau yang terletak di suatu lautan luas, yang disebut Lautan Yaman. Laut ini mempunyai peranan penting dimasa mendatang.

(CATITAN: Dari Laut Yaman ini terbentang jalan yang akan dilalui seorang soleh yang mempunyai peranan penting dalam memerangi Dajjal, sang tokoh pendusta bertubuh buruk.)

Kemudian anak ini ditinggalkan sendirian di pulau itu. Ia bertugas menjenguknya setiap saat sesuai dengan perintah Allah s.w.t., untuk menjaga dan memeliharanya, serta menyayanginya dengan memberi makan dan minum.
Dengan demikian, sang anak itu akan kembali pada kebiasaannya semula, yakni banyak tidur dan sedikit bergerak. Sementara itu, Jibril kembali menghancurkan negeri yang penuh dengan kemaksiatan itu dan menjungkir-balikkannya, sehingga bahgian atas negeri tersebut menjadi kebawah. Dan lengkaplah seksaan Allah atas orang-orang kafir itu.
Kemudian Jibril kembali membawa makanan untuk anak itu dari rezeki Allah dan demi melaksanakan perintah-Nya tanpa batas, tanpa pertanyaan dan permohonan penjelasan dari-Nya. Allah menyayangi anak itu, seraya berfirman kepada Jibril:

“Hai Jibril, anak itu adalah hamba-Ku. Tetapi di akhir zaman ia mengaku sebagai tuhan yang disembah di muka bumi. Aku akan mengutus orang yang akan menyeksanya dengan seksaan pedih, dan akan membunuhnya pada suatu saat tertentu yang tidak akan diingkari oleh hamba-Ku. Orang tersebut adalah seorang Nabi yang diutus pada suatu masa dan ia menjadi wali, tanpa wahyu, pada menjelang akhir zaman."

(CATITAN: riwayat ini saya dapatkan dari seorang alim di negeri Yaman yang subur dan makmur. Ia dikenali dengan nama Haidar bin ‘Aril Billah ‘Abdullah bin Salam bin Syari. Ia mempunyai banyak manuskrip mengerikan yang, menurutnya, telah berusia ratusan tahun. Bahkan, ada yang mempunyai asal usul sejak 700 tahun sebelum Masihi. Kerana tersangat rahsianya manuskrip-manuskrip ini, ia hanya memberitahukannya kepada orang-orang tertentu saja. Ia adalah salah seorang penduduk Raidah, suatu daerah yanag paling banyak didiami oleh orang-orang Yahudi Yaman. Orang alim ini masih hidup dan berusia 110 tahun. Ia sendiri tidak mahu hidup di kota-kota moden. Segenap kehidupannya dilalui di khemah-khemah di padang Sahara dengan ke empat-empat isterinya. Mereka semua jauh lebih muda dari dirinya sekitar dua puluh sampai tiga puluh tahun. Ia nampak masih perkasa. Ketika saya bertanya kepadanya tentang resepi keperkasaan dan kegagahannya, ia menjawab bahawa ia tidak pernah meninggalkan solat malam, tidak pernah ketinggalan melakukan solat fajar dari waktunya yang telah ditentukan, dan jarang memakan daging dan garam. Makanan yang paling banyak dimakannya adalah madu, kurma, susu dan air putih.)

Pulau yang didiami oleh anak itu dikenali dengan nama Jazirah ath-thu’ban ar-rahib wa ad-dabbah al-halba’ (pulau ular mengerikan dan haiwan berbulu tebal). Sebab menurut dongeng tentang pulau itu, setiap orang yang datang dan singgah di sana pasti akan mati disengat ular yang panjangnya beratus-ratus meter. Sementara itu, haiwan berbulu lebat itu mempunyai lidah yang dapat bercakap-cakap dengan segala bahasa di muka bumi ini dan menguasai pulau itu. Ular tu adalah penjaganya dan buta matanya. Haiwan berbulu lebat itulah yang mengarahkannya. Sang penjaga sangat taat dan selalu tunduk pada tuannya seperti taatnya cincin kepada jari.

Pulau itu sebenarnya kecil bagaikan kumpulan batu-batu yang membentuk suatu petak bumi yang penuh dengan pelbagai mata air tawar dan segar, serta dikelilingi pepohonan rendang yang saling terjalin dan berpintal. Pulau itu juga dipenuhi dengan sumber-sumber kebaikan, baik berupa bunga-bungaan, tumbuh-tumbuhan, maupun pohon-pohon epal berwarna kuning, berbentuk aneh seperti kepala jin yang nampak indah dan tersusun rapi, dan tidak seperti kepala syaitan berbentuk hodoh dan berwajah buruk. Iklim pulau itu selamanya sejuk dan sering hujan.

Pulau itu terletak di Lautan Hindi dekat negeri Yaman. Bahgian laut yang penuh dengan pulau-pulau dan berdekatan dengan negeri Yaman disebut Lautan Yaman, bukan Teluk Arab seperti diakui sebahgian orang. Pulau yang didiami oleh anak ajaib itu nampak jauh dan terpisah dari pulau-pulau yang jumlahnya banyak. Bahkan, dari jauh pulau itu nampak seperti sebuah bintang yang terlepas dari gugusan bintang lainnya, atau bagaikan sebuah bulan lepas dari pusat peredarannya yang penuh dengan planet-anet lain. Ia menjadi suatu yang asing dan ganjil kerana ditentukan oleh Yang Maha Kuasa.

No comments:

Post a Comment